
Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, setakat ini, bekalan tenaga negara dijangka mencukupi hingga Julai dan usaha sedang dipergiatkan, termasuk mendapat sumber bekalan tambahan dari luar negara.
“Petronas sedang bertungkus lumus untuk mendapatkan semua bekalan, walaupun terpaksa pergi ke Afrika sekali pun.
“Kalau semuanya (bekalan) dapat dikumpulkan, insya Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga hingga Disember,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya.
Jelasnya, krisis tenaga global memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi, khasnya sektor logistik yang menyaksikan peningkatan kos dan akhirnya memberi impak kepada harga barang dan keterjaminan bekalan.
Beliau berkata, kesan krisis itu turut dirasai sektor lain, termasuk perubatan dan pembuatan akibat kekurangan bahan mentah tertentu seperti plastik yang digunakan dalam pembungkusan serta pelbagai keperluan industri.
“Di Malaysia, kita masih mengambil mudah sebenarnya. Kita masih merasakan Malaysia ini seolah-olah tidak berdepan krisis. Itulah kedudukan di Malaysia, tetapi sebenarnya ramai pihak bekerja untuk memastikan kita masih berada dalam keadaan selesa ini.”
Justeru, beliau menggesa semua pihak memainkan peranan dengan memastikan penjimatan bekalan elektrik dan air bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
“Apabila mengurangkan penggunaan tenaga, kita dapat memanjangkan tempoh bekalan tenaga kita dan akhirnya kita akan dapat keterjaminan dan tidak akan terkesan dengan krisis yang berlaku.”
Katanya, kerajaan menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara setiap minggu turut mengadakan libat urus dengan pelbagai sektor bagi mengenal pasti impak krisis terhadap ekonomi negara serta langkah intervensi boleh dilaksanakan.
Menurutnya, usaha itu termasuk memastikan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana, selain mengelakkan kehilangan pekerjaan dan mengurangkan kesan kepada rakyat.
Pada masa sama, Fadillah berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada tiga aspek utama sektor tenaga, iaitu keterjaminan bekalan, harga mampu dibiayai rakyat serta kelestarian alam sekitar.