Arahan kosong kediaman, pindah staf Balai Undang Luak Sungei Ujong tak wajar, kata sayap Umno

Arahan kosong kediaman, pindah staf Balai Undang Luak Sungei Ujong tak wajar, kata sayap Umno

Tiga sayap Umno Negeri Sembilan dakwa tindakan itu dibuat secara tergesa-gesa ketika pertikaian adat belum selesai.

Balai Undang Luak Sungei Ujong
Kerajaan negeri arah pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong, susulan keputusan sidang khas DKU Negeri Sembilan bertarikh 17 April.
PETALING JAYA:
Tiga sayap Umno Negeri Sembilan menyifatkan arahan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong serta pengosongan kediaman rasmi dan balai itu sebagai tindakan tidak wajar ketika pertikaian adat belum selesai.

Dalam kenyataan bersama, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno turut menyifatkan arahan itu sebagai tidak sensitif serta boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat yang harus dihormati.

Dakwa mereka, ini kerana Balai itu sedang menguruskan pertikaian belum selesai melibatkan Mubarak Dohak, bekas Undang Luak Sungei Ujong.

“Oleh itu, sebarang tindakan melibatkan kediaman rasmi, balai, kakitangan atau kemudahan berkaitan institusi tersebut perlu dibuat dengan penuh tertib, santun dan kebijaksanaan,” katanya.

Tiga sayap itu turut berpandangan tindakan tergesa-gesa seperti itu hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis ini telah gagal diurus dengan bijaksana oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

“Ia juga menguatkan alasan mengapa keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar telah hilang sejak tecetusnya krisis itu,” katanya merujuk tindakan 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin, Isnin lalu.

Semalam, media melaporkan kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong, susulan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April.

Sidang itu bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak, selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pada 20 April lalu, Aminuddin mengumumkan Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Pengumuman Aminuddin itu menjawab tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, Setiausaha sulit kepada Mubarak, Ahmad Hanafi Ruzlan, memaklumkan menerusi surat pihaknya menangguh pematuhan arahan pengosongan dan memohon kejelasan dalam isu berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.