
Mereka berpandangan, kehadiran 300 peserta perhimpunan dianggarkan polis manakala 1,500 oleh seorang penggeraknya Rafizi Ramli menggambarkan isu dibawa mungkin belum benar-benar dekat dengan rakyat dan mampu menjadi pemangkin mobilisasi besar.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, keadaan itu menunjukkan usaha meningkatkan imej politik melalui kuasa ketiga bukan mudah dan mencabar.
Katanya, tema ‘tangkap Azam Baki’ diakui mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik perhatian ramai kerana kontroversi membabitkan ketua agensi antirasuah itu.
“Tetapi ia telah melalui fasa akhir dan dilihat sukar lagi untuk menarik perhatian ramai demi kelangsungan politik,” katanya kepada FMT.
Perhimpunan di ibu negara pada 25 April lalu itu dianjurkan sekretariat khas terdiri pertubuhan masyarakat sivil, dan disokong Rafizi serta beberapa Ahli Parlimen PKR menyokongnya selain Muda.
Perikatan Nasional (PN) tidak terbabit secara langsung namun beberapa pemimpin Pemuda PAS dan Bersatu hadir ke perhimpunan itu.
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong antara pemimpin DAP hadir, iaitu satu daripada parti komponen dalam kerajaan perpaduan.
Syaza Shukri dari Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jumlah kehadiran 18,000 orang pada perhimpunan pembangkang Julai tahun lalu menunjukkkan tema dibawa seperti kos sara hidup diterima ramai.
“Saya tidak pasti mengapa pembangkang tidak sama-sama serta dalam protes baru-baru ini, mungkin political mileage daripada isu itu tidak begitu besar.
“Rakyat Malaysia biasanya tidak begitu cenderung untuk turun padang kecuali melibatkan isu dekat dengan kehidupan harian seperti harga barang dan kos sara hidup,” katanya turut mendakwa ramai masih keliru.
“Timbul persoalan sama ada jika sertainya adakah ia bermaksud mereka menyokong Rafizi dan kelompok masih berada di pihak kerajaan?.”