
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang menghadiri perbincangan tertutup itu berkata, sesi berkenaan diadakan bersempena dengan Minggu Maritim Singapura (SMW) 2026, lapor Bernama.
“Malaysia sebagai negara pesisir yang juga bertanggungjawab terhadap Selat Melaka komited untuk memastikan kebebasan navigasi dan juga kebebasan transit di Selat Melaka terjamin,” katanya selepas majlis perasmian SMW 2026 di Pusat Konvensyen Suntec di Singapura.
“Sebagai sebuah negara berdaulat dan juga ahli majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), kita komited terhadap sistem berasaskan peraturan yang setiap negara anggota memainkan peranan dan menghormati undang-undang antarabangsa.”
Ketegangan di Selat Hormuz kembali mengalihkan perhatian kepada Selat Melaka, yang juga merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Walaupun hanya selebar 2.7km di titik paling sempit dan 10 kali ganda lebih kecil berbanding Hormuz, selat ini mengendalikan kira-kira 40% perdagangan global, termasuk sebahagian besar minyak dari Timur Tengah ke pusat-pusat ekonomi Asia seperti China, Jepun, dan Korea Selatan.
Bloomberg memetik Yap Chuin Wei, pengarah program penyelidikan perdagangan antarabangsa Yayasan Hinrich sebagai berkata, krisis di Hormuz menonjolkan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa laluan sempit maritim (chokepoints) mungkin semakin ‘dijadikan senjata’ di tengah-tengah persaingan geopolitik global.