KBS akan terus bantu G Saravanan, kata menteri

KBS akan terus bantu G Saravanan, kata menteri

G Saravanan yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 1998 menghidap penyakit yang menjejaskan sel saraf motor sejak 2021.

Taufiq johari saravanan
Menteri Taufiq Johari berbual dengan G Saravanan yang menghidap MND ketika menziarahi bekas atlet lumba jalan kaki itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus membantu serta menjaga kebajikan bekas atlet lumba jalan kaki negara, G Saravanan, yang menghidap penyakit neuron motor (MND).

Menteri Taufiq Johari berkata KBS tidak akan mengabaikan kebajikan atlet veteran yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Saravanan, 56, memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 1998. Beliau menghidap penyakit yang menjejaskan sel saraf motor di otak dan saraf tunjang sejak 2021, dan keadaannya dilaporkan semakin merosot sejak tahun lepas.

Beliau kini bergantung pada bantuan alat pernafasan, tidak boleh bercakap, tidak boleh berjalan serta hanya mampu makan melalui tiub dan memerlukan penjagaan rapi daripada ahli keluarga.

“KBS bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sedang meneliti keperluan semasa dan kos rawatan bekas atlet itu, termasuk fisioterapi, rawatan perubatan serta perbelanjaan bulanan bagi memastikan bantuan disalurkan mencukupi dan dapat membantu keluarganya,” kata Taufiq, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Saravanan di kediamannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama Yakeb serta pemimpin komuniti setempat, dan menyampaikan sumbangan kewangan.

Pengerusi Yakeb, Ahmad Shapawi Ismail, berkata yayasan menyalurkan beberapa bantuan sejak Saravanan disahkan menghidap penyakit berkenaan, termasuk sumbangan RM500 sebulan bagi meringankan beban keluarga.

“Yakeb telah menyalurkan lebih RM30,000 kepada Saravanan setakat ini dan kami sentiasa mengikuti perkembangan beliau serta berusaha membantu meringankan beban keluarganya mengikut kemampuan,” katanya.

Isterinya, M Sasikala, 53, berkata keadaan suaminya kini stabil dan menunjukkan sedikit perkembangan positif, namun masih memerlukan bantuan alat pernafasan pada waktu malam.

“Suami mula menunjukkan simptom sejak 2021 apabila tiba-tiba tidak dapat bercakap seperti biasa. Selepas itu pergerakan turut terjejas sehingga sukar berjalan,” katanya.

Saravanan sebelum ini merupakan jurulatih di Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, namun terpaksa berhenti kerja sepenuhnya akibat keadaan kesihatan yang merosot, katanya.

Sasikala bersama tiga anak mereka bergilir-gilir menjaga Saravanan sepenuh masa.

Keadaan Saravanan turut diberi perhatian FMT pada 28 Mac lalu. Pada 10 Apr lalu, FMT melaporkan Saravanan turut menyumbang untuk bekas pelumba basikat negara, Mutalib Mydin, yang terlantar selepas diserang strok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.