
Maybank Investment merupakan penasihat dan ejen pemfailan bagi pihak Sunway.
Dalam kenyataan, bank pelaburan itu menyatakan tawaran itu ditutup pada 5 petang tadi.
“Tawaran berkenaan telah luput dan tidak lagi boleh diterima, dan semua penerimaan akan dikembalikan kepada pemegang yang telah menerima tawaran itu, manakala Sunway selepas ini tidak lagi terikat dengan mana-mana penerimaan tawaran terdahulu.”
Tiga hari lalu, IJM mengulangi saranannya agar pemegang saham menolak cadangan pengambilalihan oleh Sunway, yang sebelum ini dilabelkannya sebagai tidak adil dan tidak munasabah.
IJM menyatakan, tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) bersyarat oleh Sunway mestilah dinilai dalam ‘konteks strategik’ yang sewajarnya.
Pada 12 Jan, Sunway telah membuat VTO berkenaan untuk semua 3.51 bilion saham dalam IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan tarikh akhir penerimaan pada 6 April.
Bulan lalu, Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran Sunway bagi 13.5% pegangan sahamnya dalam konglomerat itu.
IJM pada dasarnya dimiliki oleh pelbagai dana institusi, dengan KWSP sebagai pemegang saham terbesar, memegang 16.8% kepentingan.