KP JAS, timbalan mohon bicara terima suapan RM121,000

KP JAS, timbalan mohon bicara terima suapan RM121,000

Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dituduh terima suapan RM100,000 manakala Norhazni Mat Sari didakwa menerima RM21,000 melalui enam transaksi.

Wan Abdul Latiff n Norhazni Mat Sari
Ketua Pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dituduh mengikut Akta SPRM 2009, manakala pertuduhan terhadap timbalannya, Norhazni Mat Sari, dikenakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, dan seorang timbalannya, Norhazni Mat Sari, mengaku tidak bersalah secara berasingan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM121,000.

Wan Latiff mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.

Wan Latiff, 58, dituduh menerima rasuah daripada Pengarah Sunrich Conquest Sdn Bhd, Khor Chong Hai melalui pengurus projek syarikat itu, Lee Ham Kong, di pejabat ketua pengarah di Putrajaya, pada 15 Jan 2025.

Suapan itu sebagai dorongan kepada Wan Latiff atas kapasitinya sebagai penjawat awam untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian daripada penilaian impak alam sekitar (EIA).

Pengecualian berkenaan dikaitkan dengan permohonan kebenaran merancang melibatkan cadangan projek jalan berkembar Bukit Kukus dan kerja tanah berkaitan di Paya Terubong, Pulau Pinang.

Permohonan berkenaan telah dikemukakan oleh Geo Valley Sdn Bhd melalui surat bertarikh 22 Nov 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Wan Latiff diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM100,000 mengambil kira jawatan Wan Latiff serta jumlah didakwa terlibat.

Namun, peguam bela Firdaus Ahmad berhujah bahawa jumlah tersebut keterlaluan dan memohon amaun lebih rendah antara RM20,000 hingga RM30,000, memandangkan Wan Latiff penanggung tunggal keluarga dan menyara dua orang anak yang masih menuntut di universiti.

Beliau berkata, Wan Latiff sedang menjalani rawatan bagi penyakit kencing manis, manakala isterinya pula menghidap darah tinggi. Beliau juga menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sejak siasatan bermula pada 29 Jan.

Mahkamah menetapkan 7 Mei untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry turut menganggotai pasukan pendakwaan berkenaan.

Tuduhan terhadap Norhazni

Dalam pada itu, Norhazni, 59, mohon dibicarakan di hadapan Hakim Azura Alwi terhadap enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM21,000.

Beliau dituduh menerima wang tersebut dalam enam transaksi daripada Pengarah E-Concern (Borneo) Sdn Bhd, Tang Siong Hee, 41, dan memindahkan dana itu ke akaun bank anak perempuannya berusia 29 tahun melalui transaksi dalam talian.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah bank di sepanjang Jalan Sultan Ismail antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya penyerahan pasport.

Peguam bela Haresh Mahadevan memohon agar pasport anak guam hanya diserahkan selepas lawatan kerjanya ke Geneva, Switzerland, untuk menghadiri siri mesyuarat dari 16 hingga 26 Jun.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah tertuduh boleh memohon pelepasan sementara pasportnya kelak.

Mahkamah menetapkan 19 Mei untuk pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.