Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi RM426.7 bilion pada 2025

Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi RM426.7 bilion pada 2025

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia adalah peningkatan 11% daripada pelaburan diluluskan yang direkodkan pada 2024.

kl skyline
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata 8,390 projek yang diluluskan akan mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Malaysia mencatat pelaburan diluluskan tertinggi iaitu RM426.7 bilion tahun lalu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ini adalah peningkatan 11% berbanding pelaburan yang diluluskan pada 2024, dengan 8,390 projek dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Ini adalah jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar, yang juga merupakan menteri kewangan, berkata pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion tahun lalu, iaitu kira-kira 51.5% daripada jumlah keseluruhan pelaburan.

“Pada masa yang sama, pelaburan asing meningkat sebanyak 20.9% kepada RM207.1 bilion. Semua ini mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap kestabilan, dasar yang jelas dan hala tuju ekonomi Malaysia.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia akan memastikan setiap pelaburan bukan sahaja diluluskan tetapi juga direalisasikan serta diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan kemakmuran rakyat.

“Ini bukan sekadar angka tetapi bukti keyakinan global terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang telah kita laksanakan. Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati manfaatnya,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.