Malaysia Airlines batal penerbangan ke Qatar, Saudi

Malaysia Airlines batal penerbangan ke Qatar, Saudi

Penerbangan dari dan ke Doha, Jeddah serta Madinah hari ini dan esok dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

malaysia airlines
Malaysia Airlines berkata pembatalan penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia Airlines membatalkan penerbangan ke dan dari Qatar serta Arab Saudi hari ini dan esok susulan serangan udara bersama Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Lima penerbangan yang dibatalkan hari ini membabitkan MH160 ke Doha, MH156 ke Jeddah, MH158 ke Madinah, MH159 dari Madinah dan MH161 dari Doha.

Penerbangan MH164/MH165 dari Doha dan MH157 dari Jeddah untuk esok turut dibatalkan.

Tetapi, penerbangan MH4 ke London dan MH20 ke Paris hari ini diteruskan mengikut jadual kerana ia menggunakan laluan alternatif merentasi Afghanistan, jauh dari zon konflik terjejas.

Syarikat induknya, Malaysia Aviation Group, berkata pembatalan penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.

“Penumpang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif, jika perlu.

“Penerbangan ke destinasi terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut ke atas situasi keselamatan,” katanya dalam  kenyataan.

Penumpang terjejas boleh mendapatkan bantuan melalui sokongan sembang langsung di laman web syarikat penerbangan atau hubungi 1-300-88-3000 (dalam Malaysia) atau 03-7843 3000 (luar Malaysia).

Sementara itu, Malaysia Airports menasihatkan pengembara, gangguan tidak terhad kepada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Walaupun penerbangan melalui titik transit alternatif di luar rantau itu, perkhidmatan seterusnya ke destinasi terjejas mungkin digantung atau dihadkan.

“Oleh itu, pengembara perlu menyemak status keseluruhan perjalanan mereka, termasuk sektor penghubung, sebelum membuat aturan perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Malaysia Airlines memaklumkan penerbangan MH160 ke Doha berpatah balik ke KLIA, manakala MH156 ke Jeddah dilencongkan ke Chennai sebelum kembali ke KLIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.