Anwar kutuk Israel-AS serang Iran

Anwar kutuk Israel-AS serang Iran

Perdana menteri mengkritik Tel Aviv cuba menggagalkan rundingan Washington-Tehran dengan melancarkan serangan udara ke atas republik Islam itu.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata amat penting untuk menghentikan permusuhan serta-merta dan tanpa syarat.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengutuk serangan udara Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran hari ini kerana boleh menolak Timur Tengah ke “ambang kemusnahan”.

Beliau mengkritik Israel memulakan serangan itu dan menyifatkannya cubaan melulu untuk mensabotaj rundingan Washington dan Tehran, serta membabitkan negara lain dalam konflik yang boleh menjadi tidak terkawal.

“Amat penting untuk menghentikan permusuhan serta-merta dan tanpa syarat,” katanya dalam catatan Facebook.

“Saya menggesa AS dan Iran meneruskan penyelesaian diplomatik, bukannya memburukkan lagi keadaan serta menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera tanpa dwistandard.”

Anwar yang bimbang dengan keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan seluruh rantau itu berkata, beliau akan bekerjasama dengan rakan serantau untuk mengambil langkah berikutnya.

Israel melancarkan serangan awal ke atas Iran hari ini, yang menyusul konflik udara 12 hari pada Jun lalu antara Israel dan Iran, di tengah-tengah amaran berulang AS-Israel terhadap tindakan lanjut akan diambil jika Iran meneruskan program peluru berpandu nuklear serta balistiknya.

Washington dan Tehran mengadakan siri rundingan dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung program nuklear Iran.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan berkata, Washington memulakan “operasi tempur besar-besaran di Iran” dan memberi amaran mungkin rakyat AS terkorban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.