SPRM melulu siar notis awam 4 anak Daim, kata peguam

SPRM melulu siar notis awam 4 anak Daim, kata peguam

Peguam dua anak lelaki Daim berkata SPRM hanya memanggil mereka dua hari lalu dan tiada cubaan mengelak.

Asnida Abdul Daim, Wira Dani, Amir and Amin
Awal hari ini, SPRM mengeluarkan notis bagi mendapatkan bantuan orang awam mengesan empat anak Allahyarham Daim Zainuddin iaitu Asnida, Wira Dani, Amir, dan Amin. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Peguam mewakili dua anak lelaki Allahyarham Daim Zainuddin mengkritik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengeluarkan notis awam bagi mendapatkan bantuan mengesan empat anak bekas menteri kewangan itu.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, mendakwa SPRM bertindak melulu memandangkan semua empat anak Daim diwakili peguam dan sudah berkomunikasi dengan agensi antirasuah itu.

Katanya, mereka hanya menerima notis daripada SPRM dua hari lalu bagi anak guam, Amir Daim dan Amin Daim, untuk menghadiri sesi temu bual bersama pegawai pada 11 Mac.

“Tiada sebarang keengganan untuk bekerjasama dan tidak juga berlaku sebarang cubaan mengelak. Namun, SPRM menganggap wajar untuk bertindak melulu dan mengeluarkan kenyataan media tersebut hanya selepas dua hari notis tersebut disampaikan.

“Tiada asas bagi notis awam yang mendakwa SPRM sedang mencari mereka. Ia memberikan gambaran salah seolah-olah anak guam kami melarikan diri atau menjauhkan diri daripada sebarang siasatan,” kata mereka dalam kenyataan.

Peguam itu juga, menyatakan notis awam berkenaan pada hakikatnya telah meletakkan empat anak Daim di bawah perhatian masyarakat
dan berdepan ‘perbicaraan oleh media’, serta mendakwa ia merupakan bentuk cubaan bagi mencemarkan reputasi mereka dan juga Allahyarham Daim.

Kenyataan itu turut menyeru SPRM menegakkan kedaulatan undang-undang dan bertindak adil memandangkan anak guam mereka sentiasa memberikan kerjasama.

“Persepsi awam kini akan terpesong terhadap empat individu itu yang masih belum dituduh atas sebarang kesalahan. Tingkah laku sedemikian menyentuh prinsip asas ‘anggapan tidak bersalah’ dan kedaulatan undang-undang.

“Kami sedang menerima arahan mengenai tindakan segera undang-undang, termasuk remedi yang berbangkit susulan penerbitan yang tidak wajar dan berunsur fitnah itu,” kata mereka.

Awal hari ini, SPRM mengeluarkan notis bagi mendapatkan bantuan orang awam mengesan empat anak Allahyarham Daim; Asnida, Wira Dani, Amir, dan Amin.

SPRM menyenaraikan alamat kediaman terakhir mereka yang diketahui, selain menyatakan mereka dikehendaki bagi membantu siasatan, walaupun butiran lanjut tidak didedahkan.

Pada 2024, SPRM menyita beberapa akaun bank milik balu Daim, Naimah Abdul Khalid, dan empat anak mereka.

Sejumlah 18 syarikat yang dikaitkan dengan mereka, termasuk Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd, turut disita.

Naimah kini sedang dibicarakan atas pertuduhan gagal mematuhi terma notis pengisytiharan aset dikeluarkan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.