Rakyat sudah ‘mual’, gerakan reset mesti diyakini, kata Saifuddin

Rakyat sudah ‘mual’, gerakan reset mesti diyakini, kata Saifuddin

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata reset nasional perlu praktikal dan bermula dengan isu penting seperti kos sara hidup.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata gerakan ‘reset’ disuarakan Hamzah Zainudin bukan seruan politik tetapi strategi membentuk konfigurasi yang matang dan stabil.
PETALING JAYA:
Gerakan ‘reset’ perlu diyakini rakyat untuk mengubati keresahan yang didakwa sudah mencapai tahap ‘mual’ dengan pemimpin sedia ada dan janji manis manifesto, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata keresahan rakyat itu menuntut satu ‘reset’ nasional segera bagi menggantikan sistem lama yang disifatkannya sebagai kian ‘reput’ akibat pertembungan politik dendam.

Namun jelasnya, pendekatan itu perlu praktikal yang bermula dengan isu dekat dengan rakyat seperti masalah kos sara hidup dan akses kepada makanan.

“Paling penting ‘reset’ perlu diyakini rakyat kerana rakyat telah muak dengan janji dan manifesto. Rakyat telah mual dengan wajah-wajah yang sama dan dengan tawaran yang sama.

“Rakyat perlu dihidangkan dengan wajah dan pasukan politik baharu dan segar yang memenuhi maksud ‘hafiizun’aliim’ iaitu mampu, berintegriti, amanah dan tahu cara menguruskan pembangunan negara serta yang mendengar rintihan rakyat di bawah.

“Selain itu, benar-benar bersedia membantu dan memandu rakyat dan negara ke arah lebih maju, makmur dan sejahtera,” tulisnya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Tegas Saifuddin, gerakan ‘reset’ disuarakan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bukan seruan politik tetapi strategi membentuk konfigurasi yang matang dan stabil demi kelangsungan negara.

“Pada saya, ini bukannya seruan politik. Sebaliknya, ini seruan untuk gerakan pembinaan bangsa yang komprehensif,” tambahnya.

Hamzah dalam perhimpunan 14 Feb lalu, sehari selepas dipecat Bersatu mengumumkan gerakan ‘reset’ untuk membina semula negara dengan menyeru ‘sahabat’ beliau menyokong perjuangannya.

Saifuddin berkata ‘reset’ juga perlu untuk membaiki dan menyusun semula sistem dan institusi fundamental yang pernah menjadikan Malaysia hebat.

“Ini perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan semasa dan untuk mendepani keadaan masa depan,” katanya yang juga antara enam Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.