Jangan bawa retorik perpaduan Melayu ke Sabah, kata bekas KM

Jangan bawa retorik perpaduan Melayu ke Sabah, kata bekas KM

Salleh Said Keruak memberi amaran naratif berasaskan kaum dan agama boleh menggugat asas kepelbagaian serta keseimbangan sosial Sabah.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak berkata persaingan antara parti disifatkan perkara biasa semasa pilihan raya, namun kestabilan mesti diutamakan selepas itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak mengingatkan retorik perpaduan Melayu ala Semenanjung tidak dibawa ke Sabah kerana boleh menjejaskan keharmonian masyarakat yang sekian lama terpelihara.

Salleh berkata ramai ahli politik di peringkat nasional sering bercakap tentang perpaduan Melayu dan Islam.

“Pendekatan itu mungkin sesuai di Semenanjung, tetapi Sabah berbeza, khususnya dari segi politik kepartian,” katanya di Facebook.

Menurut beliau, politik yang terlalu berasaskan kaum dan agama berpotensi mencetuskan perpecahan yang lebih mendalam, terutamanya apabila semakin hampir dengan musim pilihan raya.

“Bagi rakyat Sabah, pendekatan seperti ini tidak membantu menyelesaikan perbezaan, sebaliknya boleh membesarkannya,” katanya.

Kenyataan Salleh dibuat ketika kembali timbul seruan di peringkat nasional supaya parti-parti Melayu disatukan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pada 22 Feb lalu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata usaha menyatukan parti-parti Melayu perlu diterjemahkan dalam bentuk kerjasama pilihan raya bagi mengukuhkan kuasa politik.

Pada 2019, dua parti Melayu-Islam terbesar negara Umno dan PAS membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN).

Namun, gabungan itu berakhir apabila PAS bergabung dengan Bersatu untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN), yang kemudian membentuk kerajaan pada 2020.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga pernah melancarkan beberapa inisiatif untuk menyatukan politik Melayu, termasuk gabungan Gerakan Tanah Air yang diterajui partinya, Pejuang.

Namun, gabungan itu gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU 2022.

Salleh berkata politik Sabah berteraskan autonomi, pembangunan dan sikap saling bertolak ansur, termasuk mempertahankan hak negeri, memberi tumpuan kepada kemajuan ekonomi serta mengurus kepelbagaian kaum dan agama secara matang.

“Kestabilan Sabah bergantung kepada keseimbangan dan sikap saling memahami, bukan penguasaan satu naratif sahaja. Sebab itu Sabah perlu berhati-hati dan melindungi keharmonian masyarakat daripada pengaruh politik yang tidak mencerminkan realiti sebenar negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengakui persaingan politik adalah perkara biasa ketika pilihan raya, namun menegaskan kestabilan mesti diutamakan selepas proses itu berakhir.

“Kita mungkin berbeza pandangan, tetapi kita berkongsi satu tanggungjawab yang sama iaitu menjaga keharmonian Sabah dan memastikan masa depannya terjamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.