Simpanan persaraan: Terlalu optimis undang risiko kewangan, kata pegawai KWAP

Simpanan persaraan: Terlalu optimis undang risiko kewangan, kata pegawai KWAP

Nazaiful Affendi Zainal Abidin kata ramai yang memandang rendah jumlah yang diperlukan untuk menyara diri pada usia tua.

orang tua warga emas old people
Menurut KWSP, paras RM390,000 yang mencapai tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan hanya mencukupi untuk menampung keperluan asas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Sifat terlalu optimis kebanyakan rakyat tentang simpanan persaraan mengundang risiko kewangan apabila mereka mencapai usia tua, menurut seorang pegawai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

Ketua Pegawai Strategi dan Perkhidmatan, Nazaiful Affendi Zainal Abidin, berkata ramai rakyat salah anggap mereka mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi berbanding orang lain.

“Data yang ada tidak menunjukkan perkara sedemikian,” katanya pada wacana di Forum Ekonomi Malaysia.

Beliau berkata perkara ini mengakibatkan ramai yang memandang rendah jumlah yang diperlukan untuk menyara diri pada usia tua, ditambah pula dengan persepsi salah tentang jangka hayat sendiri.

Memetik sasaran simpanan persaraan asas KWSP yang disemak semula iaitu RM390,000, Nazaiful berkata angka itu hanya akan menampung kira-kira RM1,625 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

Katanya, angka tersebut amat tidak mencukupi untuk menyara seorang pesara, apatah lagi jika jangka hayat mereka lebih panjang.

“Jadi sekali lagi, wujud bias optimisme dalam kalangan kebanyakan rakyat. Mungkin kita perlu mendidik serta meningkatkan kesedaran.”

Menurut KWSP, paras RM390,000 yang mencapai tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan hanya mencukupi untuk menampung keperluan asas dan tidak membolehkan gaya hidup selesa.

Ia menetapkan simpanan persaraan sekurang-kurangnya RM650,000 sebagai “mencukupi” untuk menyara taraf hidup yang ‘munasabah’, dan sekurang-kurangnya RM1.3 juta sebagai ‘dipertingkatkan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.