Tokoh perbankan Islam akan bantu siasatan SPRM

Tokoh perbankan Islam akan bantu siasatan SPRM

Menurut wakil guaman Daud Bakar, beliau tiada apa hendak disembunyikan.

daud bakar
Daud Bakar pernah berkhidmat sebagai pengerusi majlis penasihat syariah di BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tokoh perbankan Islam Daud Bakar akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan agensi antirasuah itu terhadap bekas syarikatnya.

Wakil guamannya, Tetuan Ahmad Zaidi & Partners dalam kenyataan memaklumkan, Daud yang pernah berkhidmat sebagai pengerusi majlis penasihat syariah di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah dipanggil untuk membantu siasatan SPRM.

“Beliau akan memberikan maklumat lengkap dan sokongan penuh bagi memastikan siasatan berjalan lancar, memandangkan tiada apa yang perlu disembunyikan di pihaknya,” kata firma guaman tersebut.

“Anak guam kami kekal komited terhadap ketelusan dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting berkaitan siasatan tersebut.”

Firma guaman itu turut menyatakan, Daud telah memberi jaminan kepada pihak berkepentingan di syarikat-syarikatnya yang lain bahawa operasi perniagaan biasa tidak akan terjejas oleh siasatan ini.

Lembaga pengarah dan pengurusan syarikat-syarikat tersebut sedang mengambil langkah-langkah untuk melindungi kepentingan pemegang saham, rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan lain, di samping mengekalkan kelangsungan perniagaan dan menegakkan tadbir urus korporat yang teguh, kata firma guaman itu.

Daud merupakan pengasas dan pengerusi eksekutif Amanie Group, yang mana syarikat utamanya, Amanie Advisors, beroperasi di bandar-bandar raya di seluruh dunia sebagai firma penasihat yang pakar dalam kewangan Islam dan penyelesaian patuh syariah.

Menurut profilnya di LinkedIn, beliau pernah mempengerusikan beberapa majlis penasihat syariah, termasuk di Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Beliau juga pernah mempengerusikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dari 2021 hingga 2024, serta berkhidmat sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dari 2019 hingga 2022.

Selain itu, Daud menganggotai lembaga syariah di pelbagai institusi kewangan antarabangsa, antaranya National Bank of Oman, Amundi Asset Management, BNP Paribas Najma, Natixis Bank, Morgan Stanley, Sedco Capital dan Dow Jones Islamic Market Index.

Beliau juga pemilik kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.