
Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, mengumumkan kedudukan Muhyiddin akan ditentukan dalam mesyuarat luar biasa MT, melibatkan 16 anggota yang masih memegang jawatan.
“Jika MT PN meluluskan perletakkan jawatan pengerusi PN, baru diadakan perbincangan untuk pemilihan pengerusi PN baharu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS.
“Kalau tak lulus maka ‘legally’ dia kekal sebagai pengerusi, tak perlulah lantik pengerusi yang baharu.”
Dalam pada itu, Takiyuddin mengesahkan bahawa Muhyiddin tidak tersenarai dalam notis mesyuarat luar biasa tersebut, yang akan bersidang di ibu pejabat Gerakan di Cheras.
Beliau menerangkan hanya ahli MT yang masih memegang jawatan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan, manakala Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan beliau berkuat kuasa 1 Jan lepas.
“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah, dari segi undang-undang, ini (peletakan jawatan Muhyiddin) sudah berkuat kuasa. Tapi, tak apalah, walaupun demikian, perlu dibawa kepada MT PN untuk diluluskan juga,” katanya.
Takiyuddin menambah beliau selaku timbalan setiausaha agung PN akan akur sekiranya ada keputusan lain apabila mentafsir perlembagaan PN.
Dua individu lain, iaitu Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin — yang turut meletakkan jawatan mengikuti langkah Muhyiddin — turut tidak tersenarai dalam notis berkenaan.
Perletakan jawatan Muhyiddin berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu, apabila sekumpulan Adun Bersatu menarik balik sokongan kepada Shukri Ramli.
Pemuda PAS menyeru parti mereka mengambil alih kemudi PN, selepas Bersatu tidak bertindak terhadap lima Adun berkenaan.
Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan partinya sedia mengambil alih kepimpinan gabungan itu, namun kesesuaian PAS menjadi perbincangan.
Awal minggu lalu, Muhyiddin berkata, beliau lebih daripada bersedia untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS, namun menegaskan pendirian Bersatu bahawa pengerusi PN seterusnya haruslah presiden parti.
Hadi dikatakan menolak memegang jawatan itu sendiri atas faktor kesihatan.
Berikut anggota majlis tertinggi PN semasa, selain Takiyuddin (PAS):
- Timbalan Pengerusi: Hadi Awang (PAS), Hamzah Zainuddin (Bersatu), Dominic Lau Hoe Chai (Gerakan), dan Punithan Paramsiven (MIPP)
- Ketua Pemuda: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PAS)
- Ketua Wanita: Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu)
- Ketua Pengarah Pilihan Raya: Sanusi Nor (PAS)
- Ahli majlis: Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS), Idris Ahmad (PAS), Ronald Kiandee (Bersatu), Faizal Azumu (Bersatu), Oh Tong Keong (Gerakan), Wong Chia Zhen (Gerakan), Subramaniam Surunaryan (MIPP), dan Sivakumar Krishnan (MIPP)