Ibu bapa boleh daftar prasekolah, Tahun 1 lebih awal tahun depan

Ibu bapa boleh daftar prasekolah, Tahun 1 lebih awal tahun depan

Langkah itu bagi memberi peluang pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak yang sudah bersedia.

Guru, murid sekolah rendah
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kemasukan awal ini mencerminkan tuntutan perubahan zaman.
PUTRAJAYA:
Ibu bapa boleh mendaftar anak seawal lima tahun ke prasekolah, manakala enam tahun bagi Tahun 1, bermula tahun depan bagi memberi peluang pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak yang sudah bersedia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kemasukan awal ini mencerminkan tuntutan perubahan zaman, namun pentadbirannya belum bersedia mewajibkan perkara ini kerana mungkin ada ibu bapa merasakan anak belum bersedia.

“Kita masih tetapkan boleh masuk Tahun 1 ketika tujuh tahun, tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia daripada sekarang boleh masukkan anak-anak lima tahun ke prasekolah,” katanya, ketika berucap pada majlis peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada sidang media di majlis sama mengumumkan kementerian akan mengumpul data sebelum menetapkan garis masa pendaftaran, dengan sasaran kemasukan ke Darjah 1 pada 2027 bagi murid yang memenuhi kriteria.

Beliau juga berkata ujian diagnostik akan dijalankan ketika pendaftaran bagi mengenal pasti tahap murid. “Kita nak kenal pasti kanak-kanak ini dah bersedia atau belum, apa kekurangan, apa keperluan.”

Rancangan kemasukan awal ini terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-13 yang diterbitkan Kementerian Ekonomi pada Julai tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, pendidikan rendah dimulakan pada umur enam tahun itu selaras amalan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.