‘Sebelum rakyat rindu, Umno kena rindu sesama sendiri’, kata Johari

‘Sebelum rakyat rindu, Umno kena rindu sesama sendiri’, kata Johari

Naib presiden Umno berkata kegagalan Umno menampilkan imej bersatu akan menyukarkan parti itu untuk meyakinkan rakyat.

johari abdul ghani
Johari Ghani berkata Umno perlu pragmatik mengurus perbezaan politik termasuk hubungan dengan parti lain bagi mengekalkan kestabilan politik negara.
KUALA LUMPUR:
Umno perlu memulihkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahlinya terlebih dahulu sebelum mengharapkan rakyat kembali ‘merindui’ parti itu, kata Naib Presiden Johari Ghani.

Beliau berkata, kegagalan Umno menampilkan imej bersatu akan menyukarkan parti itu untuk meyakinkan rakyat, khususnya dalam landskap politik semasa yang tidak menentu.

“Sebelum rakyat rindu Umno, orang Umno kena rindu orang Umno.

“Kalau kita dalam Umno tak rindu sama-sama kita menjadi satu parti yang mempunyai perpaduan sangat kukuh, macam mana orang luar nak (rindu kita)?,” katanya.

Beliau ditemui FMT selepas majlis amanat presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Untuk rekod, pengaruh Umno semakin merosot sejak PRU 2004 yang mana parti itu menang 109 kerusi merudum kepada 79 (2008), kemudian naik sedikit kepada 88 (2013), tetapi kembali merosot dengan 54 (2018) dan terburuk 26 (2022).

Pada PRU15 berlangsung 2022, Parlimen tergantung menyebabkan tiada parti mempunyai majoriti. Namun, 30 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) diterajui Umno menjadikannya penyokong utama kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Walaupun ada pihak mempersoalkan kesepaduan dan kekuatan kerajaan perpaduan — terutama kerjasama Umno dengan musuh lamanya, DAP — kerajaan itu kekal walaupun berdepan ancaman awal.

Mengulas amanat Presiden Umno Zahid Hamidi, Johari berkata mesej utama disampaikan kepada semua perwakilan ialah keperluan mendesak untuk menghentikan perpecahan dalaman kerana kekuatan parti itu tidak lagi seperti dahulu.

“Presiden berpesan kepada semua perwakilan kita sudah tidak boleh lagi memecah-belahkan parti. Parti ini sudah tidak kuat macam dulu.

“Jadi, semua pihak mesti bersatu untuk berdepan cabaran yang akan datang, bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat luar negara,” katanya.

Menurut Johari, kesedaran terhadap realiti semasa itu menuntut Umno supaya lebih pragmatik dalam mengurus perbezaan politik, termasuk hubungan dengan parti-parti lain, demi memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan.

“Atas sebab itu, dalam apa juga perbezaan politik kita dengan mana-mana parti, Umno perlu menyusun dan menyesuaikan diri supaya negara ini terus mempunyai kestabilan politik yang baik.

“Dengan kestabilan itu, kita semua boleh sama-sama mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang boleh dijanjikan dengan kestabilan politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.