Saya dah beri ‘nasihat terbaik’ pada Akmal, kata Zahid

Saya dah beri ‘nasihat terbaik’ pada Akmal, kata Zahid

Presiden Umno berkata keputusan hasil pertemuan akan diumumkan Dr Akmal Saleh esok.

Zahid Hamidi dan Akmal Saleh
Pertemuan Presiden Umno Zahid Hamidi dengan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Zahid Hamidi berkata beliau memberi ‘pesanan dan nasihat terbaik’ kepada Dr Akmal Saleh dalam pertemuan tadi dan terpulang kepada ketua Pemuda Umno itu untuk membuat keputusan.

Presiden Umno berkata, keputusan hasil pertemuan itu akan diumumkan Akmal yang juga Adun Merlimau, esok.

“Pertemuan (bersama Akmal) sudah berlangsung (di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) sebentar tadi.

“Saya ada memberikan nasihat terbaik dan Akmal akan mengumumkan (hasil perbincangan) esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-2 Sekolah Politik Umno di Dewan Tun Hussein Onn, WTC.

Terdahulu, Zahid memaklumkan akan bertemu Akmal bagi membincangkan hala tuju serta kedudukan ketua Pemuda Umno itu.

Bagaimanapun, Zahid tidak memperincikan butiran pertemuan itu, namun ia dipercayai berkaitan desas-desus peletakan jawatan Akmal.

Dalam perkembangan lain, Zahid memberi bayangan Umno sedia menjalinkan kerjasama dengan Bersatu.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional bagaimanapun menjelaskan sebarang keputusan mengenai perkara itu akan mengambil kira perkembangan terkini membabitkan Bersatu dan hanya akan dimuktamadkan kelak.

“Itu (kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu) kita akan susun strategi yang sepatutnya.

“Ini akan mengambil kira jika ianya benar-benar berlaku kelak,” katanya ketika ditanya kesediaan Umno bekerjasama dengan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.