Bekas panglima tentera darat mohon bersara awal

Bekas panglima tentera darat mohon bersara awal

Menteri Khaled Nordin berkata peguam Hafizuddeain Jantan memaklumkan kepada Kementah niat anak guamnya untuk bersara, berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

Muhammad Hafizuddeain Jantan
Hafizuddeain Jantan merupakan panglima tentera darat ke-30 sehingga beliau dicutikan, susulan siasatan berkait perolehan tentera. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hafizuddeain Jantan, bekas panglima tentera darat yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkait perolehan tentera, memohon persaraan awal.

Menteri Khaled Nordin berkata peguam Hafizuddeain memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan mengenai niat anak guamnya untuk bersara, berkuat kuasa 1 Jan.

Katanya, persaraan awal itu akan membolehkan proses mengenal pasti dan melantik panglima angkatan tentera baharu, jawatan yang asalnya dijadualkan untuk disandang oleh Hafizuddeain.

“Calon akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Proses ini akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu di Wisma Perwira.

Hafizuddeain diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.

Kementah pada 31 Dis lalu mengumumkan pelantikan Azhan Md Othman sebagai panglima tentera darat baharu, dan pelantikan Hafizuddeain sebagai panglima angkatan tentera ditangguhkan.

Hafizuddeain direman SPRM bagi membantu siasatan, pada 8 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.