
Dalam perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini, pasangan pilihan kedua itu tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada gandingan pilihan utama dan juara bertahan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Pasangan nombor dua dunia itu bermula perlahan dan tewas set pertama 15-21 selepas melakukan beberapa kesilapan mudah.
Namun, juara dunia 2022 itu bangkit pada set kedua, menampilkan permainan mantap untuk mendahului 18-11 dan akhirnya memaksa set penentuan dengan kemenangan meyakinkan 21-12.
Momentum perlawanan berubah pada set penentuan apabila pasangan Korea itu mendahului 11-4, tetapi Aaron-Wooi Yik enggan menyerah, kembali menyaingi lawan sehingga 18-17.
Bagaimanapun, juara bertahan itu menutup perlawanan dengan kemenangan 21-18 selepas pertarungan sengit satu jam enam minit.
Kekalahan ini menandakan pencarian Malaysia untuk juara beregu lelaki di pentas sendiri masih berterusan, dengan kemenangan terakhir milik Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.
Ia turut melanjutkan penantian Aaron-Wooi Yik untuk memenangi gelaran Super 1000. Ini kekalahan ketujuh mereka di peringkat tersebut.
Sebagai juara beregu lelaki, Won Ho–Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai USD107,300 (RM439,232), manakala Aaron-Wooi Yik selaku naib juara menerima USD50,750 (RM207,745).