31 perusahaan penjagaan kanak-kanak didakwa terlibat kartel tetap harga

31 perusahaan penjagaan kanak-kanak didakwa terlibat kartel tetap harga

MyCC keluar Keputusan Cadangan terhadap perusahaan terbabit yang perlu bentang representasi lisan.

mycc
Keputusan Cadangan dikeluarkan MyCC merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap bahawa perusahaan terbabit langgar Akta 712 secara konklusif.
PETALING JAYA:
Sebanyak 31 perusahaan disyaki terlibat dalam kartel penetapan harga berkaitan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memaklumkan, pihaknya mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap kesemua perusahaan itu, susulan hasil dapatan awal bahawa mereka melanggar Seksyen 4(1), dibaca bersama-sama Seksyen 4(2)(a) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Pengerusi MyCC Idrus Harun berkata, perusahaan-perusahaan tersebut telah berbincang dan bersetuju dengan cadangan menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semasa mesyuarat persatuan pada September 2023.

“Keputusan dalam mesyuarat itu kemudiannya disampaikan kepada semua pihak yang hadir melalui satu memorandum,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Susulan mesyuarat itu, satu pengumuman awam dibuat melalui akaun Facebook rasmi persatuan menyatakan pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak sebulat suara bersetuju menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan berkuat kuasa 2024.

MyCC mendapati matlamat perjanjian itu adalah untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.

Idrus berkata, Keputusan Cadangan itu merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap bahawa perusahaan tersebut telah melanggar Akta 712 secara konklusif.

“Perusahaan terlibat telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan,” katanya.

“Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan dan membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya pada tarikh ditentukan kemudian.”

MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan itu bersama-sama bukti diperoleh semasa siasatan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.