
Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan tempoh pemenjaraan Najib bermula pada 2028, selepas bekas presiden Umno itu selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International.
Mahkamah mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa, dengan hukuman-hukuman tersebut diperintah berjalan secara serentak.
Sementara itu, bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Sequerah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan ke atas Najib, dan memerintahkan beliau membayar balik sejumlah RM2.08 bilion.
‘Sekiranya beliau gagal melunaskan jumlah tersebut, beliau akan menjalani tambahan hukuman penjara selama 270 bulan,’ kata hakim.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara lima tahun itu berjalan secara serentak dengan hukuman bagi salah guna kuasa. Hukuman bagi pengubahan wang haram juga akan bermula selepas 2028.