Perintah larangan ke atas PetroSaudi, pengarah dilanjut 3 bulan

Perintah larangan ke atas PetroSaudi, pengarah dilanjut 3 bulan

Mahkamah Tinggi berkata lanjutan itu akan membolehkan kerajaan 'memuktamadkan apa yang perlu dilakukan seterusnya'.

tarek obaid
Mahkamah Tinggi melanjutkan perintah larangan ke atas PetroSaudi dan pengarahnya, Tarek Obaid, menghalang mereka daripada menggunakan USD340 juta yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini melanjutkan perintah larangan terhadap PetroSaudi International dan pengarahnya, Tarek Obaid, yang menghalang mereka daripada menggunakan lebih USD340 juta dana yang didakwa berkaitan 1MDB dan disimpan dalam akaun pelanggan sebuah firma guaman di United Kingdom (UK).

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan lanjutan selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah bahawa perintah tersebut, yang dikeluarkan tahun lalu, telah tamat tempoh pada 10 Dis.

“Lanjutan ini akan membolehkan kamu (kerajaan) memuktamadkan tindakan seterusnya,” katanya.

Mahadi sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa perintah asal Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan tahun lalu berkuat kuasa dari 11 Dis 2024 hingga 10 Dis 2025.

Peguam Yusof Zainal Abiden dan Alex Tan masing-masing mewakili Tarek dan PetroSaudi International.

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai 2020, kerajaan berhujah bahawa USD340,258,246.87 yang dipegang oleh Clyde & Co LLP bagi pihak dua syarikat PetroSaudi itu merupakan hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peruntukan tersebut membenarkan pendakwa raya memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah melarang mana-mana individu yang memegang harta yang mungkin merupakan hasil aktiviti menyalahi undang-undang daripada berurusan dengan harta tersebut dalam apa jua cara.

Kerajaan juga memohon untuk menghalang penggunaan dana yang disimpan dalam satu akaun di bawah Temple Fiduciary Services Limited.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.