
Beliau menyifatkan beberapa ciapan dan perkongsian di media sosial yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani hukuman SRC International di bawah tahanan rumah sebagai ‘tidak sensitif’.
Menurut Ong, tindakan itu mengabaikan perasaan ramai dalam komuniti Melayu yang mungkin tidak menyokong tindakan Najib berkaitan 1MDB tetapi tidak mahu melihat bekas perdana menteri dihina.
Dakwanya, ia juga menimbulkan rasa kurang senang terhadap pemimpin parti yang kebanyakan mereka sudah tidak gemari, yang menyambut kemenangan di media sosial.
“Negara sudah cukup terbelah dengan politik berasaskan kaum dan agama, termasuk selepas rombakan Kabinet baru-baru ini.
“Tidak perlu menambah ‘api dalam sekam’ dengan kenyataan yang berpotensi membangkitkan sentimen antara komuniti,” kata Ong dalam kenyataan beliau.
Beliau turut menegaskan sambutan seperti itu bukan sahaja boleh melemahkan kemampuan kerajaan untuk berfungsi dengan efektif sepanjang dua tahun baki penggal, malah berisiko menjejaskan peluang perjanjian pilihan raya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum dan selepas PRU.
“Siapa tahu, tindakan sebegini mungkin mendorong BN untuk mendekati Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya akan datang, yang akhirnya merugikan PH dan penyokongnya,” tambah Ong.
Semalam, rakan separtinya, Yeo Bee Yin menulis di Facebook, “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun di rumah berikutan sabitan kes SRC International.
Hantaran itu mengundang kemarahan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang turut berkata mungkin sudah tiba masanya Umno menilai semula kerjasama dengan pihak yang tidak menghargai sumbangan parti itu.
Adun Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) dari PKR juga menyifatkan ciapan Yeo sebagai “tidak sopan dan tidak wajar”.
Ong berkata tidak ada sebab untuk ‘menambah duka’ berhubung keputusan mahkamah itu, memandangkan Najib telah menjalani lebih tiga tahun daripada hukuman penjaranya.
Beliau turut menekankan kebimbangan kesihatan yang kerap dibangkitkan oleh ahli keluarga bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya akan rasa berat hati dan sedih jika saya adalah salah seorang anak atau cucu Najib, memikirkan bagaimana ayah dan datuk mereka duduk sendirian di penjara Kajang sementara kebanyakan orang lain sedang menikmati cuti hujung tahun dan menyambut perayaan bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke, menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah addendum bagi meletakkan beliau di bawah tahanan rumah bagi baki hukuman enam tahun penjara.
Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar menanggapi isu ini dengan sabar dan berhati-hati, serta menegaskan adalah tidak wajar untuk memburukkan keadaan atau meningkatkan ketegangan dalam tempoh yang digambarkan beliau sebagai sensitif.