Najib rayu keputusan tolak rayuan jalani tahanan rumah

Najib rayu keputusan tolak rayuan jalani tahanan rumah

Perkara itu dimaklumkan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah selepas Hakim Alice Loke tolak permohonan Najib Razak.

Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur umum keputusan rayuan tahanan rumah Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak rayuan untuk beliau menjalani tahanan rumah.

Peguamnya Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian selepas Hakim Alice Loke menolak permohonan menguatkuasakan adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Kita akan buat rayuan,” katanya dalam sidang medianya.

Dalam pada itu, Shafee berkata Najib dan pasukan pembelaaan kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu terutama berkait beberapa isu penting.

“Kami berpandangan hakim tidak menganalisanya dengan betul,” katanya.

Ketika menolak permohonan semakan kehakiman Najib, Loke berkata Yang di-Pertuan Agong merupakan raja berperlembagaan dengan kuasa serta fungsi baginda dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Najib, 72, disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan telah menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain menurunkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Tahun lalu, satu permohonan semakan kehakiman difailkan bagi memaksa kerajaan melaksanakan addendum atau titah tambahan, yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Najib mendakwa titah tambahan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan, dan menegaskan kerajaan telah menghina mahkamah kerana gagal melaksanakannya.

Pada 6 Jan tahun ini, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 membenarkan addendum tersebut dikemukakan sebagai bahan bukti, selain memberi kebenaran kepada bekas perdana menteri itu untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.