‘Sekali setia, tetap setia’, Zahid tegas BN kekal dukung kerajaan perpaduan

‘Sekali setia, tetap setia’, Zahid tegas BN kekal dukung kerajaan perpaduan

Presiden BN sangkal dakwaan gabungan itu ada hasrat jatuh kerajaan sedia ada.

Presiden BN Zahid Hamidi berkata, kesetiaan gabungan itu mendukung kerajaan perpaduan tidak perlu diragui.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu akan kekal setia sebagai rakan dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal, menyangkal sebarang dakwaan bahawa ia mahu menekan atau menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Zahid berkata, sejak penubuhan kerajaan perpaduan, BN kekal konsisten mendukung kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan berperanan sebagai rakan strategik yang melengkapkan agenda pentadbiran negara.

“BN tidak pernah mengugut, tidak pernah goyah, malah tetap setia sebagai rakan setia dalam kerajaan perpaduan. Jangan risau soal taat setia (kami),” katanya.

“Kalau orang mahu jumpa kita, kita jumpa orang itu, tidak semestinya kita buat keputusan untuk tebuk atap untuk menjatuhkan. BN tetap setia. Sekali setia, tetap setia”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di Butterworth hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Presiden Makkal Sakti RS Thanenthiran, lapor Bernama.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri menekankan, kesetiaan menjadi tonggak utama dalam sesebuah organisasi politik, terutama dalam gabungan besar seperti BN yang telah sekian lama berdepan pelbagai ujian.

“Kita diuji ketika menang dengan kuasa dan diuji ketika kalah dengan kesetiaan. Jika seseorang pemimpin tidak setia, jangan harap dia akan mendapat kesetiaan daripada ahlinya,” katanya menambah, BN menghargai kesetiaan parti-parti komponen dan parti bersekutu yang terus bersamanya walaupun berdepan tekanan dan cabaran politik.

Mengulas pelaksanaan dasar kerajaan, Zahid berkata, BN mahu memastikan segala janji yang terkandung dalam manifesto parti-parti gabungan kerajaan perpaduan dilaksanakan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.

Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan bahawa satu pemukiman melibatkan menteri, timbalan menteri serta kepimpinan parti-parti dalam kerajaan perpaduan akan diadakan pada 10 dan 11 Jan depan bagi menilai tahap pelaksanaan manifesto.

Katanya, permukiman itu bertujuan mencari titik persamaan antara manifesto gabungan, khususnya berkaitan kos sara hidup, pengangguran, pendidikan dan keselamatan, serta mengenal pasti perkara yang masih belum ditunaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.