Raja Muda Perlis hadir majlis penutupan Sukan SEA 2025

Raja Muda Perlis hadir majlis penutupan Sukan SEA 2025

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berada di Thailand untuk memberi semangat kepada atlet Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail beramah mesra dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand Thamanat Prompow dan Ketua Pegawai Eksekutif SEAGF Chaiyapak Siriwat di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok. (Gambar Pejabat Raja Muda Perlis)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutupan Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala, malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen diperkenalkan kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thamanat Prompow, yang menyampaikan ucapan sebelum mengisytiharkan penutupan rasmi temasya berkenaan.

Baginda juga diperkenalkan kepada Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakorn, serta beberapa menteri Kabinet negara jiran yang hadir.

Majlis penutupan berlangsung dalam suasana penuh warna-warni dan bertenaga, menampilkan segmen ‘The Sound of Whistle’ oleh penyanyi popular T-POP, Daou dan Kratae.

Mereka mempersembahkan lagu ikonik Thailand, Rak Nak Naen, yang digubah semula bagi mencerminkan semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan dalam kalangan negara ASEAN yang bertanding.

Dalam acara simbolik penutup, bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA 2025 diturunkan sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria.

Penyerahan itu menandakan Malaysia sebagai tuan rumah seterusnya bagi temasya dwitahunan sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembahkan cenderamata khas sempena Sukan SEA 2025 oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEAGF Chaiyapak Siriwat.

Penyampaian cenderamata itu berlangsung di The Grand Fourwings Convention Hotel, Daerah Bang Kapi, bersempena temasya bermula sejak 9 Dis lalu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbang Tara Sukan SEA Thailand, M Rajasekaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.