
Saintis politik, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway, menyifatkan penilaian daripada sudut keturunan dan kepercayaan seseorang sebagai ‘asabiah’.
“Bagaimanakah PAS nak harapkan sokongan bukan Muslim apabila ia tak habis-habis menilai seseorang insan daripada sudut keturunan dan kepercayaan dan bukan perbuatan?” katanya kepada FMT.
Wong mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina dalam portfolio Wilayah Persekutuan merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama yang lain.
Rombakan Jemaah Menteri pada Selasa menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, di sebalik pengekalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Takiyuddin mendakwa pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.
“Baru sehari dua Yeoh dilantik, PAS sudah nyatakan kekhuatiran. Bukankah ini buruk sangka?” kata Wong.
Beliau juga menyeru PAS mencontohi pemimpin parti itu yang dahulu, seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak asabiyah dan dihormati masyarakat bukan Islam.
“PAS boleh memantau, menyemak dan mengimbang malah melakarkan petunjuk prestasi utama untuk menilai prestasi Yeoh dalam menjaga kepentingan semua warga Wilayah Persekutuan terutamanya orang Melayu. Kalau Yeoh gagal, kecamlah dia sekuat-kuatnya,” katanya.
Sementara itu, Sharmin Kutty Sivaraman dari Universiti Antarabangsa INTI berkata kenyataan Takiyuddin tidak membawa suatu bentuk ideologi baharu.
Tambahnya, PAS perlu menjadi pembangkang yang menjalankan tugas semak dan imbang.
“PAS perlu membawa tindakan yang lebih terancang dengan kerjasama Gerakan yang diterajui oleh pemimpin Cina,” katanya.
Sharmin menambah langkah PAS kali ini memberi peluang kepada DAP untuk membuktikan corak kepimpinan mereka ‘dengan bergaya’.
Tambahnya, rombakan itu juga “peluang yang tepat kepada semua menteri baru yang dilantik untuk membuktikan daya hasil kerja mereka dengan sistematik dan terancang.”
Dalam pada itu, Wong mencadangkan Yeoh mengundang Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin, yang dipertanggungjawabkan Perikatan Nasional untuk portfolio Wilayah Persekutuan bertukar pendapat tentang pembangunan.
Beliau turut menggesa Yeoh berbincang dengan Nga agar Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar dirujuk ke jawatankuasa khas tetap Parlimen yang dianggotai wakil rakyat pembangkang dan Gabungan Parti Sarawak, “agar pandangan dan kepentingan pelbagai pihak dipertimbangkan dan isu perancangan bandar tidak dipolemikkan sebagai isu kaum.”