Rakyat Malaysia dinasihat tangguh lawatan ke Hatyai

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh lawatan ke Hatyai

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla berkata bandar Hatyai masih terjejas teruk pasca banjir dengan proses pembersihan sedang berjalan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi. (Gambar MAIPs)
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Hatyai, Thailand berikutan keadaan bandar itu yang masih terjejas teruk akibat banjir besar tiga minggu lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata kerosakan harta awam di Hatyai dianggarkan mencecah RM1.3 bilion, manakala proses pembersihan pasca banjir masih berjalan.

Beliau berkata, banyak lori dan kenderaan berat masih berada di sekitar bandar bagi kerja-kerja pembersihan, selain kebanyakan premis makanan dan lokasi tumpuan pelancong masih belum beroperasi.

Menurutnya, penularan penyakit berkaitan pasca banjir turut memberi tekanan kepada pusat perubatan di Hatyai, yang kini beroperasi pada kapasiti hampir penuh dan mempunyai keupayaan terhad untuk menerima pesakit baharu.

“Keadaan ini dijangka berterusan memandangkan hujan lebat diramalkan sehingga 20 Dis,” katanya.

Nasihat itu dikongsikan dalam kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas beliau menerima sumbangan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 disampaikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan meninjau beberapa kawasan di Hatyai yang terjejas teruk akibat banjir diiringi Ahmad Fahmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.