
Phoong nafi memulakan sebarang pertemuan dengan Tei, atau membuat kenyataan seperti disebut Tei.
“Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan ‘siapa tidak suka duit’ atau apa-apa bersifat demikian.
“Seperti diakui sebelum ini, saya pernah bertemu dengannya sekali untuk perbualan singkat, dan jelas fakta menunjukkan saya tidak pernah terlibat dalam sebarang tindakan yang diambil berkait perlombongan Sabah seperti didakwa,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, beliau telah berunding dengan peguamnya, sambil menambah kenyataan Tei mengenai apa dibincangkan dalam satu-satunya pertemuan mereka sebagai penuh penyelewengan fakta.
Phoong, yang sebelum ini merupakan menteri pembangunan perindustrian Sabah, berkata beliau mengesahkan garis masa dan menyemak rekod mesej beliau dengan setiausaha politiknya, Chan Loong Wei, dengan menyatakan perbualannya dengan Tei berlaku pada tengah hari, 22 Mac 2023.
“Tei berkeras mahu berjumpa walaupun tiada janji temu dalam jadual saya, menyatakan perjumpaan singkat pun memadai.
“Pejabat dibuka secara rutin kerana saya adalah seorang menteri dan wakil rakyat yang dipilih, dan bertemu dengan orang awam menjadi sebahagian tugas rasmi. Jadi, saya memaklumkan kepada setiausaha politik bahawa saya setuju mengadakan perjumpaan selama 15 minit,” katanya.
Phoong berkata, beliau tidak mengenali Tei secara peribadi dan perjumpaan itu dibuat secara spontan.
Terdahulu, China Press melaporkan Tei mendakwa dalam satu audio siar bahawa beliau dijemput Chan untuk bertemu Phoong bagi membincangkan isu lesen perlombongan tersebut.
Tei menuduh Phoong tidak melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun mengetahui ia melibatkan rasuah.
“Apabila Phoong mula-mula menjadi menteri Sabah, beliau sedar mengenai peruntukan lesen. Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor telah memperuntukkan lesen perlombongan kepada setiap menteri atau wakil parti. Phoong menghubungi saya untuk bertanya mengenai peruntukan ini.
“Beliau kata kepada saya, ‘Siapa tidak suka duit?’ Jika dia tidak sebut perkara itu, beliau boleh saman saya,” kata Tei.
Tei berkata, beliau kemudian mendapat tahu Hajiji enggan memberikan sebarang lesen kepada DAP untuk mengelak parti itu mengetahui keseluruhan proses atau cara sistem itu berfungsi.
“Saya dapat tahu Hajiji tidak memberikan sebarang lesen kepada DAP, jadi saya berhenti menghubunginya.”
Tei berkata, beliau tidak memberikan sebarang wang kepada Phoong seperti dilakukannya kepada beberapa Adun lain.