
Hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan membadai seluruh Kelantan dan Terengganu, menurut MetMalaysia dalam kenyataan.
Selain itu, beberapa kawasan di Pahang, membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin, serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi, turut terkesan.
Jabatan itu memaklumkan, hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera); serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) untuk tempoh sama.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku sehingga esok di Pahang melibatkan Raub dan Bentong serta Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah).