
Ketua Whip Takiyuddin Hassan berkata pendedahan maklumat peribadi tertentu atau mengenai anggota keluarga mereka boleh dilihat sebagai percubaan untuk membentuk naratif awam lebih awal, sebelum pasukan khas Bukit Aman melengkapkan siasatan.
“Kenyataan awam yang dilihat sengaja mendedahkan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga, memberi gambaran buruk tentang saksi atau menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes sewaktu proses siasatan sedang berjalan berpotensi menatijahkan gambaran salah dan kesimpulan yang pramatang.
“Keadaan sedemikian, sama ada secara sengaja atau tidak, boleh mempengaruhi sentimen awam, sekali gus melemahkan integriti proses siasatan itu sendiri,” menurut kenyataan.
Ahli Parlimen PN menegaskan profesionalisme, ketelusan dan kesahihan prosedur polis hendaklah dipatuhi pada setiap masa dan berkaitan semua kes.
Katanya lagi, kejadian kehilangan nyawa semasa operasi polis adalah isu serius yang menuntut ketelusan, pematuhan tatacara operasi standard, dan tahap kebertanggungjawaban tertinggi.
“Semua dapatan hendaklah berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme yang tidak diragui, selain bebas daripada bias atau maklumat yang berpilih-pilih, bagi memastikan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, dilaporkan Bernama berkata wanita mendakwa seorang daripada suspek ditembak mati polis pada 24 Nov lalu adalah suaminya hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama.
Beliau berkata, wanita itu — yang merakam audio kejadian — mempunyai 10 rekod jenayah lampau sejak 2012.
Peguam mewakili keluarga tiga lelaki ditembak mati polis Melaka bulan lalu menegaskan status perkahwinan atau rekod jenayah lampau individu dikaitkan dengan kes itu tidak relevan kepada kejadian berkenaan.
Polis Melaka pada mulanya mengklasifikasikan kes itu cubaan bunuh selepas Dzulkhairi mendakwa tiga lelaki terbabit perompak bersiri yang menyerang seorang pegawai dengan parang.
Tetapi, peguam mewakili keluarga M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, berkata rakaman audio serta bukti forensik mencadangkan mereka bertiga dibunuh gaya hukuman mati.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dilaporkan berkata, polis menerima satu CD mengandungi rakaman audio dipercayai perbualan telefon salah seorang lelaki ditembak dengan isterinya sebelum kejadian, dan berjanji polis akan menyiasat kes itu dengan teliti.