FAM jangka terima laporan siasatan bebas isu pemain warisan bulan ini

FAM jangka terima laporan siasatan bebas isu pemain warisan bulan ini

Oktober lalu, FAM menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Fifa.

logo FAM
Pemangku Presiden FAM Yusoff Mahadi berkata pihaknya masih menunggu laporan jawatankuasa bebas ditubuhkan persatuan itu sebelum membuat keputusan lanjut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hasil penuh siasatan jawatankuasa bebas ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dijangka diketahui bulan ini.

Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata pihaknya masih menunggu laporan jawatankuasa yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif sebelum keputusan lanjut dibuat badan induk itu.

“Kita masih menunggu laporan daripada Tun Raus dan saya menjangkakan laporan itu akan diterima dalam bulan ini juga. Daripada laporan itu nanti, kita akan lihat dapatan dikemukakan sebelum menentukan langkah seterusnya.”

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) dan FAM di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini.

Menyentuh MoU kedua-dua pihak, Yusoff berkata, kerjasama itu program bermanfaat untuk pemain dan tidak menolak kemungkinan meneroka perkara lain bersama UKMSC, termasuk aspek pengurusan mental pemain.

Oktober lalu, FAM menubuhkan jawatankuasa bebas dengan melantik Md Raus bagi menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan oleh Fifa.

Sementara itu, Yusoff berkata, FAM menyerahkan sepenuhnya keputusan isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), selepas semua proses di peringkat Fifa selesai.

“Dalam keadaan sekarang, pasukan perundangan kita sedang membuat persiapan menghantar semua dokumen diperlukan. Saya percaya kita dapat memenuhi prosedur CAS itu pada 18 Dis ini.”

Dalam pada itu, katanya, urusan FAM dengan Fifa telah berakhir dan CAS platform terakhir bagi badan induk itu melengkapkan proses perundangan.

Tegasnya, keputusan membawa kes itu ke CAS bukan didorong pertimbangan risiko, sebaliknya bagi memastikan semua proses perundangan diselesaikan sepenuhnya.

“Kita sudah habis di peringkat Fifa dan tiada lagi perkara membabitkan Fifa. Di CAS, ini proses terakhir kita dan ia merupakan badan bebas yang tidak terikat dengan Fifa. Apa juga keputusannya adalah muktamad dan perlu dipatuhi semua pihak.”

Sebelum ini, FAM mengesahkan mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung hukuman oleh Fifa membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Keputusan membawa kes itu ke CAS dibuat susulan Fifa mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 Nov lalu yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Fifa.

Keputusan itu menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan dan masing-masing didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.