
Anwar memaklumkan, beliau menyuarakan gesaan itu menerusi panggilan telefon berasingan kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet.
“Saya menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada 10 malam, 13 Dis 2025 (UTC+7).
“Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati Asean yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, misi ini akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
Anwar yang juga pengerusi Asean 2025 berkata, data daripada pemantauan satelit dan pemerhatian di lapangan akan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean pada Selasa bagi ‘memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa’.
Beliau menegaskan semula komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Asean dan komuniti antarabangsa agar dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama untuk memelihara keamanan di rantau ini.
Lebih 500,000 penduduk di Thailand dan Kemboja telah melarikan diri untuk mencari perlindungan sejak konflik sempadan itu meletus kembali awal minggu ini, mengatasi jumlah pemindahan mangsa semasa pertempuran serupa awal tahun ini.
Pertempuran minggu ini adalah yang paling buruk sejak konflik lima hari pada Julai, yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan kira-kira 300,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan kehilangan tempat tinggal, sebelum perjanjian gencatan senjata diusahakan oleh Anwar dan Presiden AS Donald Trump.
Thailand dan Kemboja telah mempertikaikan sebahagian sempadan darat sepanjang 817km itu selama lebih satu abad, di mana perebutan ke atas kuil-kuil purba kadang-kala mencetuskan pertempuran bersenjata, termasuk insiden berbalas tembakan artileri selama seminggu yang meragut banyak nyawa pada 2011.
Ketegangan kembali memuncak pada Mei selepas seorang tentera Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran kecil, mencetuskan peningkatan ketara kehadiran tentera dan pertempuran baharu yang menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.