
Beliau berkata, prestasi cemerlang melepasi sasaran asal itu adalah hasil kerja tersusun digerakkan keseluruhan pasukan di pelbagai peringkat negeri.
“Alhamdulillah, kita telah melepasi sasaran. Sasaran kita ialah RM2.3 bilion. Dalam Belanjawan (2026) hari itu saya sebut kita boleh sampai RM2.7 bilion, dan hari ini kita dah lepas pun.
“Jadi kita tunggulah sampai 31 Dis nanti kalau dapat hasil yang lebih baik. Kita sudah pasti lebih daripada RM2.7 bilion, tapi saya tak nak sebutlah angkanya sebab ada lagi bayaran-bayaran yang sedang ditunggu untuk urusan tanah,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Masjid dan Surau Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.
Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 pada 14 Nov, memaklumkan jumlah kutipan hasil negeri mencecah RM2.49 bilion setakat 13 Nov 2025 meningkat lebih 106%, berbanding anggaran awal tahun penuh sebanyak RM2.35 bilion.
Justeru, beliau berkata kerajaan negeri yakin jumlah tersebut boleh mencapai lebih RM2.7 bilion pada akhir 2025.
Dalam pada itu, sebanyak 20 masjid dan surau di Selangor menerima sumbangan berjumlah RM2.47 juta bagi kerja pembangunan dan penyelenggaraan institusi umat Islam itu.
Amirudin berkata, peruntukan kepada 11 masjid dan sembilan surau itu disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Dana Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid dan Institusi Islam Selangor.
Dana itu akan disalurkan untuk membiayai pelbagai keperluan mendesak, termasuk kerja-kerja pembaikan struktur bangunan, penaiktarafan kemudahan sedia ada seperti sistem siar raya, pendingin hawa, dan tempat wuduk, katanya.