
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh, berkata menentukan punca kehilangan Boeing 777 itu kekal penting untuk keselamatan penerbangan global dan sebarang data atau teknologi baharu berwibawa yang dapat membantu pencarian perlu dimanfaatkan.
“Penting untuk kita melakukan apa jua usaha bagi menemui pesawat itu dan memahami apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada Bernama pada Taklimat Media Global IATA di ibu pejabatnya di sini.
Beliau ditanya syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di United Kingdom, Ocean Infinity yang akan menyambung semula pencarian pesawat membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang pada 8 Mac 2014.
Kehilangan MH370 yang dalam penerbangan komersial rutin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, antara misteri terbesar dalam dunia penerbangan.
Menurut laporan, radar tentera mengesan pesawat itu berpatah balik merentasi Semenanjung Malaysia dan bergerak ke arah Laut Andaman sebelum ia hilang daripada semua sistem pengesanan.
Walsh berkata, IATA yang berpangkalan di Geneva, mewakili syarikat penerbangan dan menetapkan piawaian global untuk keselamatan, kecekapan serta kemampanan, menyokong sebarang usaha baharu oleh kerajaan atau pasukan teknikal mencari pesawat hilang itu.
Lokasi terakhir pesawat itu belum ditemui.
“Semua orang mahu pesawat itu ditemui dan semua orang ingin memahami apa yang berlaku sebenarnya.”
Beliau berkata, persatuan itu mengalu-alukan sebarang usaha menyumbang kepada kemajuan siasatan dan kehilangan MH370 yang terus memberi kesan mendalam kepada keluarga, industri serta masyarakat.
“Saya pasti keluarga terlibat mengalu-alukan usaha menyambung semula operasi pencarian pesawat itu seperti mana semua pihak dalam industri ini kerana kita semua ingin tahu apa yang berlaku.”
Awal bulan ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan operasi pencarian MH370 akan disambung semula 30 Dis ini.
Ocean Infinity mengesahkan kepada kerajaan Malaysia, operasi pencarian di dasar laut secara berperingkat selama 55 hari dimulakan semula akhir bulan ini.
Ia selepas operasi pencarian laut dalam yang terbesar dan termahal dalam sejarah penerbangan membabitkan Malaysia, Australia dan China tidak menemui pesawat itu.
Pencarian asal meliputi kawasan seluas 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi dan digantung pada 2017 selepas dua tahun.
Hanya serpihan berselerak yang disahkan daripada MH370 dijumpai di beberapa pulau di barat Lautan Hindi selepas hanyut mengikut arus.
Usaha pencarian awal tahun ini bermula Mac lalu, tetapi dihentikan sementara akibat cuaca buruk.
Menurut laporan berita, syarikat itu yakin teknologi robotik dan pemetaan dipertingkatkan serta pengajaran daripada misi terdahulu, memberikan usaha baharu ini peluang kejayaan lebih tinggi.
Ocean Infinity berkata, kumpulan kapal tinjau robotiknya adalah neutral karbon dan jauh lebih cekap berbanding platform laut dalam tradisional.