Beri laluan mudah di Lamag, Kinabatangan undang persepsi salah

Beri laluan mudah di Lamag, Kinabatangan undang persepsi salah

Penganalisis kata sebarang persefahaman yang membolehkan kerusi 'diwarisi' menyempitkan peluang rakyat memilih pembaharuan.

BN Supporters
Prestasi Bung Moktar Radin di DUN Lamag berlatarkan pengaruh BN yang semakin mengecil di Sabah.
PETALING JAYA:
Penganalisis percaya memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan hanya mengundang persepsi salah.

Kata mereka, ia menunjukkan BN bergantung pada sentimen dan mengamalkan politik dinasti, di sebalik prestasi buruk gabungan itu pada PRN Sabah baru-baru ini.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata sebarang persefahaman yang membolehkan sesuatu kerusi ‘diwarisi’ secara asasnya menyempitkan peluang rakyat memilih.

“Perpaduan politik tidak boleh mengatasi prinsip demokrasi. Ini melemahkan budaya persaingan dan menyempitkan peluang pembaharuan,” katanya kepada FMT.

Penyandang dua kerusi itu, Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada Jumaat lalu pada usia 66 tahun. Beliau mewakili rakyat Lamag sejak 2020 dan Kinabatangan sejak 1999.

PRN lalu menyaksikan Bung yang meraih 3,908 undi diikut rapat seorang calon bebas (3,755), dalam pertandingan enam penjuru yang turut membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (1,646), Warisan (372), dan Perikatan Nasional (258).

Prestasi ketua Umno Sabah itu berlatarkan pengaruh BN yang semakin mengecil, menyaksikan hanya enam calonnya terpilih manakala 39 lagi tewas, walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Kematian Bung sebelum sempat beliau mengangkat sumpah wakil rakyat Lamag mencetuskan ucapan takziah dan penghormatan dari pelbagai parti politik.

Syahruddin Awang Ahmad, juga dari UMS, berkata parti politik wajar bertanding bagi memastikan hak pengundi memilih terpelihara, meskipun ada sentimen simpati terhadap penyandang.

“Tindakan beri kerusi mudah kepada BN boleh mewujudkan persepsi negatif bahawa kerusi tersebut ‘milik’ satu pihak atau dinasti politik semata-mata,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya juga berkata parti politik harus berhati-hati agar sesuatu kerusi tidak dilihat sebagai ‘hak eksklusif’ mana-mana individu atau keluarga.

“Keutamaan tetap mandat rakyat, bukan sentimen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Dis ini, bagi membincangkan pilihan raya di Lamag dan Kinabatangan.

PN memaklumkan kepada pemberita bahawa ia masih belum membuat keputusan untuk bertanding di Lamag.

Anak Bung, Naim Kurniawan Moktar, yang juga ketua Pemuda Umno Kinabatangan disebut-sebut sebagai calon di salah satu kerusi, bagi mempertahankan legasi Bung.

Pada PRU 2022, Bung mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.