Amirudin ulangi ingin kekal MB Selangor sampai habis penggal

Amirudin ulangi ingin kekal MB Selangor sampai habis penggal

Amirudin Shari ulas laporan media mengatakan beliau berpotensi menjadi menteri dalam rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Amirudin Shari mahu menyempurnakan segala perancangan di Selangor untuk penggal kedua pentadbirannya.
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sekali lagi menegaskan hasratnya kekal menerajui pentadbiran negeri sehingga tamat penggal, meskipun ada laporan media menyebut beliau antara tokoh politik sesuai dilantik sebagai menteri Persekutuan.

Mengulas laporan itu menjelang rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat, naib presiden PKR itu berkata beliau mahu menyempurnakan pelbagai perancangan pembangunan untuk Selangor.

“Lebih baik saya sempurnakan kerja di sini untuk memastikan kita kembali menang dengan signifikan selain melengkapkan perancangan sedia ada,” katanya selepas satu majlis.

Bagaimanapun, Adun Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak itu menyerahkan soal pelantikan Jemaah Menteri kepada Anwar.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan rombakan Jemaah Menteri akan dibuat dalam masa terdekat – yang kedua sejak Anwar menjadi perdana menteri pada November 2022.

Ketika ini ada empat kekosongan portfolio: ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.

Portfolio ekonomi kini dipangku Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan manakala portfolio sumber asli dan kelestarian alam diuruskan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Kekosongan itu berlaku selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan pertengahan tahun ini selepas kalah pemilihan PKR.

Portfolio pembangunan usahawan dan koperasi pula dipangku Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, susulan peletakan jawatan Ewon Benedick bulan lalu.

Berhubung perkara berasingan, beliau berkata mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam turut membincangkan kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang kecewa kerana DAP tidak dimaklumkan mengenai pengisytiharan unilateral bahawa PH menjadi sebahagian kerajaan Sabah.

Beliau berkata perbincangan berjalan secara harmoni dan gabungan itu sepakat untuk bergerak ke hadapan.

“Ini untuk memperkukuhkan PH, mempelajari dan membetulkan kesilapan, serta mendapatkan semula sokongan yang mungkin terjejas selepas PRN Sabah,” katanya.

Semalam, Loke menegur Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh kerana mengumumkan bahawa PH bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan Sabah, tanpa pengetahuan DAP.

Ketika itu PH hanya memenangi satu kerusi — Melalap melalui calon PKR — manakala DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya.

GRS pula memenangi 29 kerusi dan membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), Upko dan lima calon Bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.