Peguam Albert Tei mohon semakan kehakiman terhadap arahan SPRM

Peguam Albert Tei mohon semakan kehakiman terhadap arahan SPRM

Mahajoth Singh kata permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mahajoth Singh
Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh, mahu mahkamah batal arahan SPRM yang arah beliau kemuka dokumen berkaitan anak guamnya. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Peguam yang mewakili ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, Mahajoth Singh, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung arahan berkaitan anak guamnya.

Mahajoth mengesahkan permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurut dokumen mahkamah, Mahajoth mahu membatalkan arahan SPRM pada 29 dan 30 November, yang memanggil peguam itu untuk disoal serta mengemukakan dokumen dan barang-barang berkaitan anak guamnya bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(1)(b) Akta SPRM.

Beliau berkata SPRM mengarahkannya untuk kemuka telefon bimbit Tei; dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian, dan kamera; serta salinan perbualan WhatsApp antara anak guamnya dengan individu yang dikenal pasti sebagai Sam, Sofia, dan Erwin.

Beliau juga memohon perintah penggantungan sementara ke atas sebarang tindakan SPRM terhadapnya berhubung dua arahan tersebut, sehingga permohonan semakan kehakiman ini selesai.

Dalam afidavitnya, Mahajoth menyatakan maklumat yang diminta SPRM merupakan komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam, bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan Seksyen 46 Akta SPRM.

Beliau berkata SPRM menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan tersebut, kerana Seksyen 46(1) Akta SPRM menyatakan penzahiran sebarang maklumat daripada peguam bela atau peguam cara hanya boleh dilakukan dengan perintah Mahkamah Tinggi.

“Responden tidak memperolehi sebarang perintah mahkamah dan secara langsung dan tidak sah telah mengeluarkan Perintah Menurut Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM,” katanya.

Beliau juga mendakwa Seksyen 46 Akta SPRM tiada menghendaki seseorang peguam mematuhi apa-apa perintah sehinggakan pematuhan akan mendedahkan maklumat terlindung atau komunikasi terlindung yang sampai kepada pengetahuannya bagi maksud apa-apa prosiding yang belum selesai.

“Justeru itu, perlindungan statutori bagi komunikasi terlindung di antara saya dan anak guam saya dalam perkara ini tidak boleh dipintas dalam apa jua keadaan,” tambahnya.

Permohonan kebenaran itu akan didengar pada 6 Jan depan di hadapan Hakim Alice Loke.

Mahajoth sebelum ini menafikan dakwaan SPRM bahawa beliau mempunyai ‘bahan bukti’ yang relevan dengan siasatan ke atas ahli perniagaan itu.

Tei mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan memberi rasuah kepada bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, sebagai dorongan membantu syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong juga sedang disiasat SPRM berkaitan dakwaan Tei bahawa Tei telah ‘merasuah’ Shamsul untuk mendapatkan semula dana yang didakwa diagihkan kepada Adun Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.