Jenayah dalam talian rekod kerugian lebih RM2.7 bilion setakat Nov

Jenayah dalam talian rekod kerugian lebih RM2.7 bilion setakat Nov

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman berkata jenayah telekomunikasi merekodkan kes tertinggi dengan 28,698 kes diikuti jenayah e-dagang sebanyak 14,881 kes.

scammers
Jumlah kerugian tertinggi akibat jenayah dalam talian membabitkan pelaburan tidak wujud iaitu lebih RM1.37 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi dan e-kewangan, kata JSJK Bukit Aman.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian melibatkan kerugian lebih RM2.7 bilion direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan memaklumkan jenayah telekomunikasi merekodkan jumlah tertinggi dengan 28,698 kes diikuti jenayah e-dagang sebanyak 14,881 kes.

Sementara itu, penipuan pelaburan tidak wujud turut menjadi antara penyumbang utama kerugian dengan mencatatkan 9,296 kes manakala pinjaman tidak wujud (8,029), jenayah e-kewangan (5,853) dan Love Scam (978).

“Jumlah kerugian akibat pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah tertinggi, iaitu lebih RM1.37 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi (RM715.7 juta), e-kewangan (RM458.1 juta), e-dagang (RM123.7 juta), pinjaman tidak wujud (RM59.1 juta) dan Love Scam (RM43.7 juta),” menurut kenyataan itu.

Statistik berkenaan menunjukkan kadar jenayah siber yang membimbangkan dan orang ramai dinasihati supaya bertindak segera jika menjadi mangsa dengan menghubungi bank bagi menyekat transaksi mencurigakan.

Selain itu, orang ramai yang menjadi mangsa boleh membuat laporan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.