SUV jatuh gaung: Tanda amaran, hadang jalan tutup dialih pihak tak bertanggungjawab

SUV jatuh gaung: Tanda amaran, hadang jalan tutup dialih pihak tak bertanggungjawab

Polis sahkan pihak berkuasa ada letak tanda amaran laluan ditutup di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring, namun dialih.

tanah runtuh gua musang jatuh gaung
Dilaporkan pada Jumaat, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terkorban setelah SUV dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tanda amaran dan penghadang jalan yang dipasang oleh pihak berkuasa di lokasi tanah runtuh di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) dipercayai telah dialih oleh pihak tidak bertanggungjawab, menurut polis.

Susulan itu, Ketua Polis Hulu Terengganu Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengalih atau mengganggu tanda amaran keselamatan jalan di laluan itu.

Laluan terputus itu menjadi lokasi nahas membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung kelmarin, mengorbankan seorang guru dan pekerja kantin.

Sharudin berkata, kenderaan itu dipercayai dipandu terus ke kawasan laluan terputus sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 61m.

Katanya, siasatan awal mendapati SUV terbabit tidak dipandu laju melalui laluan ditutup itu.

“Jika pemandu memandu laju, biasanya kenderaan akan ‘terbang’ sedikit sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya, lapor Berita Harian.

“Namun, berdasarkan serpihan kenderaan yang ditemui di lereng gaung, polis yakin SUV itu tidak dipandu laju dan terus terjunam ke bawah.”

Sharudin berkata, polis percaya kemalangan membabitkan faktor kecuaian manusia.

Dilaporkan pada Jumaat sebuah Toyota Fortuner dipandu guru, Hassan Shazali, 52, membawa pekerja kantin, Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung pada kira-kira 5.30 petang.

Kedua-dua mangsa, yang dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.