
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpandangan desakan Bersatu Kuala Terengganu supaya Hamzah mengisytiharkan gencatan politik tidak akan membawa makna jika kem lain terus melakukan serangan demi kepentingan sendiri.
“Mesti merangkumi semua pihak kerana jika hanya satu kem ditekan, Bersatu akan terus dilihat retak dari dalam, gagal menarik sokongan rakyat dan akhirnya menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN).
“Bersatu bukan tewas kerana rakyat menolak, tetapi kerana pemimpinnya saling menjatuhkan antara satu sama lain.
“Gencatan politik mesti menyeluruh, bukan sekadar mendiamkan satu suara,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.
Jumaat lalu, Bersatu Kuala Terengganu mendesak Hamzah mengisytiharkan gencatan politik dalaman yang didakwa menjejaskan imej parti serta keyakinan rakyat.
Mesyuarat bahagian itu turut meminta Hamzah menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam ‘gerakan subversif’ atau cubaan menggugat kedudukan Presiden Muhyiddin Yassin.
Bahagian itu juga mahu Hamzah menjelaskan hubungannya dengan ahli yang kini berdepan tindakan tatatertib.
Oktober lalu, Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah pula dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk disiasat berhubung dakwaan terbabit dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat bahawa belum ada tanda perpecahan dalam Bersatu dapat dipulihkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila Bersatu tewas di 31 kerusi pada PRN Sabah, yang menyebabkan penyokong masing-masing menyalahkan Muhyiddin dan Hamzah.
“Persaingan antara kem Muhyiddin dan Hamzah masih berlarutan, dan prestasi di Sabah menjadi antara bukti kelemahan itu.
“Realitinya, selagi tiada tokoh yang benar-benar mampu menyatukan parti, konflik akan terus berpanjangan,” katanya.