
Pelbagai inisiatif dijalankan menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi membentuk mekanisme penyelesaian cekap dan efisien terus dari peringkat akar umbi.

Pengarah Bahagian Pengurusan Perpaduan JPNIN, Norwahidah Zinalibdin, berkata salah satunya adalah pembangunan sistem pengumpulan data dikenali sebagai papan muka analitik perpaduan.
Katanya, melalui papan muka itu, kawasan dikategorikan ‘panas’ yang menunjukkan peningkatan isu perpaduan dan tahap ketegangan masyarakat dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan mitigasi diambil sebelum konflik menular.
“Data yang diperhatikan termasuk menerusi aduan sistem e-Sepakat, rukun tetangga, skim rondaan sukarela dan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) selain mengintegrasikan data daripada Jabatan Perangkaan,” katanya kepada FMT.
Norwahidah berkata, sistem itu bukan sekadar memaparkan data semasa, tetapi membolehkan kementerian membuat unjuran bagi tempoh tiga hingga lima tahun, sekali gus membantu merangka strategi perpaduan jangka panjang yang lebih tepat dan berasaskan bukti.

Sementara papan muka analitik memberi gambaran menyeluruh, sistem e-Sepakat pula berfungsi bagi merekod dan memantau aduan secara masa nyata.
“JPNIN beroperasi di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan dengan 116 pejabat perpaduan daerah, serta pegawai kami bertanggungjawab mengurus, memantau serta mengesan isu perpaduan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu – sama ada di lapangan atau melalui pemantauan di media sosial.
“Terdapat enam kluster isu perpaduan yang dipantau termasuk tadbir urus dan pembangunan, keselamatan, agama, politik, kenyataan berbaur kebencian serta perkauman,” katanya.
Beliau berkata, JPNIN juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menangani aduan yang diterima.
Jentera perpaduan komuniti setempat
Tahun ini juga, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) ditubuhkan sebagai platform antara 12 agensi kerajaan bagi membincangkan dan mengambil tindakan segera berhubung polemik yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Selain itu, mediator bertauliah bawah JPNIN berfungsi sebagai pihak ketiga yang neutral, membantu komuniti menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif.
Sehingga kini, kementerian menubuhkan sebanyak 10 Pusat Mediasi Komuniti dalam memberikan khidmat mediasi kepada komuniti awam.
“Kami melatih pemimpin komuniti dalam kalangan rukun tetangga sebagai pengantara untuk menenangkan pihak berkonflik supaya isu ini tidak merebak kepada komuniti setempat yang lebih besar.
“Kadang-kadang isu kecil seperti parkir juga boleh diperbesar,” katanya memaklumkan sehingga Oktober lalu, sebanyak 144 kes diselesaikan melalui mediasi komuniti.
Menurutnya, perkhidmatan mediasi itu dijalankan secara percuma bagi membantu masyarakat menyelesaikan pertikaian tanpa melibatkan saluran perundangan dengan situasi ‘menang-menang’.
Sementara itu, fungi e-Sepakat turut diperluaskan kepada orang awam, melalui Rangkaian Aduan Komuniti Awam (Rakan), diperkenalkan pada 19 Jun lalu bagi membolehkan rakyat melaporkan tanda awal ketegangan kaum, agama atau isu yang boleh menggugat perpaduan.
“Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagang, sendiri merasakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan memantau isu ini bukan terletak pada bahu pihak berkuasa sahaja, tetapi rakyat juga perlu bekerjasama untuk menjadi mata dan telinga kita,” katanya.
Sehingga 15 Nov lalu, sebanyak 33 kes atau aduan dilaporkan melalui Rakan dengan 24 isu berjaya diselesaikan.