
Tei, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM100,000 kepada Shamsul sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 24 Nov 2023.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memberi suapan berbentuk perabot dan barangan elektrik berjumlah RM14,580.03 kepada Shamsul sebagai dorongan membantu syarikat dia mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di 131, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024.
Menurut pertuduhan ketiga, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM40,000 kepada Shamsul sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama seperti pertuduhan kedua pada 29 Jan 2024.
Bagi pertuduhan keempat, Tei didakwa memberi perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 kepada Shamsul antara 26 Feb dan 5 Mac 2024 sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan ikat jamin RM300,000 untuk Tei yang didakwa gagal memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan berisiko melarikan diri.
Peguam Latheefa Koya menyangkal dakwaan pihak pendakwaan dan menegaskan anak guamnya ialah pemberi maklumat dalam kes membabitkan dirinya dan Shamsul.
“Jika anda lihat pertuduhan, semua maklumat datang daripada anak guam saya. Dia sumber maklumat pertama dan tidak adil mengatakan dia akan mengganggu saksi pendakwaan,” katanya yang memohon mahkamah menetapkan jaminan lebih rendah.
Hakim membenarkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 8 Jan depan.