3,761 mangsa banjir di 47 PPS di 4 negeri

3,761 mangsa banjir di 47 PPS di 4 negeri

Jumlah mangsa banjir di Perak dan Selangor berkurangan kepada 2,602 serta 699 orang pagi ini.

Jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat kepada 432 orang pagi ini berbanding 256 orang malam tadi di 20 PPS di Kangar, Padang Besar dan Arau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 3,761 mangsa banjir masih ditempatkan di 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri setakat 8.15 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 2,602 orang daripada 730 keluarga pagi ini berbanding 2,763 orang malam tadi.

Mereka ditempatkan di 18 PPS di Hulu Perak (1,468), Bagan Datuk (502), Perak Tengah (206), Manjung (413) serta Larut, Matang dan Selama (13).

Di Selangor, jumlah mangsa banjir di tujuh PPS di Kuala Selangor (686) dan Sabak Bernam (13) turun sedikit kepada 699 orang daripada 215 keluarga pagi ini berbanding 712 orang malam tadi.

Keadaan di Pahang kekal dengan 28 mangsa banjir daripada enam keluarga di dua PPS di Maran (21) dan Kuantan (7) pagi ini.

Di Perlis, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 432 orang daripada 151 keluarga pagi ini berbanding 256 orang malam tadi.

Mereka berlindung di 20 PPS di Kangar (243), Padang Besar (134) dan Arau (55).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.