
Kitingan berkata pelantikan Ishak dibuat terus oleh Ketua Menteri Hajiji Noor tanpa sebarang perbincangan dengan parti, dan portfolio Ishak juga belum diumumkan.
Beliau berkata Ishak dipilih rakyat Bingkor dan STAR menghormati haknya menerima jawatan berkenaan.
“STAR sendiri tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pendirian kami tidak berubah – Sabah perlu ditadbir parti tempatan, bukan gabungan bergantung pengaruh dari Semenanjung.
“STAR akan berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab. Kami akan menyokong dasar melindungi Sabah dan menentang langkah menjejaskan hak negeri di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami menyokong kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh parti tempatan. Selain itu hanya akan melemahkan kuasa tawar-menawar dan masa depan Sabah,” katanya di Facebook.
Semalam, Hajiji mengumumkan barisan Kabinet negeri, dengan setiausaha agung GRS Masidi Manjun, presiden Upko Ewon Benedick, dan presiden PBS Joachim Gunsalam dilantik sebagai timbalan ketua menteri.
Adun Melalap Jamawi Jaafar dari Pakatan Harapan (PH) dan Adun Sukau Jafry Ariffin dari Barisan Nasional (BN) turut dilantik sebagai menteri, manakala selebihnya dalam Kabinet terdiri daripada wakil GRS.
STAR yang hanya mempunyai dua Adun pada awalnya menyokong Hajiji sebagai ketua menteri, namun menarik balik sokongan selepas tidak mendapat tempat dalam Kabinet.
Pengumuman terbaharu Kitingan itu meletakkan STAR dalam situasi unik di DUN, dengan Ishak berada di blok kerajaan manakala Kitingan di blok pembangkang.