
Beliau berkata permohonan seperti itu tidak beretika kerana mereka tidak sepatutnya meminta perdana menteri memberikan kelulusan terus terhadap projek yang dimohon.
Menurut Anwar, permintaan sedemikian berbeza sama sekali dengan surat sokongan biasa termasuk kes membabitkan bekas setiausaha politik kanannya Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hanya memohon permohonan syarikat tertentu dipertimbangkan.
“Dalam kes pegawai saya, enam syarikat hanya diminta dipertimbangkan. Ia wajar diberi teguran, tetapi adakah perlu dipecat jika surat itu tidak pun mencadangkan kelulusan?.
“Berbeza dengan surat meminta pertimbangan kelulusan perolehan melalui rundingan terus. Itu tidak dibenarkan. Di Terengganu, ia ditandatangani seorang EXCO; surat dari Kelantan pula turut meminta kelulusan.
“Saya anggap hipokrasi disini ialah tak sepatah pun disebut (ditegur oleh pembangkang soal) surat dari exco Kelantan dan Terengganu minta diluluskan (projek),” katanya menjawab soalan pada Waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar turut mengesahkan surat dari Terengganu itu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri.
Pendedahan itu dibuat selepas didesak Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang meminta beliau menyatakan siapa wakil kerajaan negeri yang menghantar surat berkenaan.
Terdahulu, beliau menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), yang bertanya sama ada kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai menteri susulan teguran supaya menteri lebih tegas memantau pegawai masing-masing.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan bersetuju supaya audit dilakukan terhadap pegawai menteri bagi memastikan setiap tugas dilakukan tidak melanggar peraturan termasuk terpalit rasuah.
“Seperti saya umumkan pemantauan berterusan kerana ada pekeliling tentang tatakelakuan dan pengurusan tatatertib.
“Walaupun ini berlaku saya setuju dengan Masjid Tanah bahawa harus ada pemantauan lebih teliti termasuk apa dibangkit baru-baru ini tentang surat sokongan,”katanya.