
Merujuk aktiviti songsang yang dibongkar dalam serbuan baru-baru ini, baginda mengakui terkejut dan berharap kegiatan seumpamanya dihentikan.
“Saya agak terkejut jugalah dengan berita dengan kegiatan seperti ini. Saya harap ini tidak berlaku di Pahang. Saya ingin beri nasihat, jauhilah perbuatan songsang ini dan saya minta juga majlis perbandaran semua inilah dan daerah semua memantau kegiatan seumpama.
“Kalau ada pun tempat-tempat yang menyediakan fasiliti seperti ini (spa) dapat dipantau dengan lebih rapi supaya tidak ada kegiatan-kegiatan songsang ini berlaku di negeri Pahang,” kata baginda di Facebook Kesultanan Pahang.
Sabtu lalu, lebih 200 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti tidak bermoral.
Daripada jumlah itu, 17 adalah penjawat awam membabitkan doktor bedah, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru dan pegawai agensi penguatkuasaan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani Omar, dilaporkan berkata premis disyaki beroperasi setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu itu, dipercayai dijadikan pusat bagi golongan lelaki bertemu dan bertukar pasangan bagi melakukan perbuatan seksual songsang.
Ahad lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata 171 lelaki tempatan yang ditahan dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak majistret atas alasan lewat dikemukakan.
Dalam pada itu, Sultan Abdullah menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil jika ada pihak terlibat atau menyediakan ruang untuk kegiatan berkenaan.