
Anwar berkata dalam soal itu beliau menyerahkan sepenuhnya agensi antirasuah itu untuk melakukan siasatan secara menyeluruh.

“SPRM telah panggil pegawai (Shamsul) dan sudah pakai baju oren dan bergari, itu bukti saya tidak campur tangan.
“Tak puas hati lagi ke? Saya tidak tegur sepatah pun kepada SPRM… saya beritahu mereka bebas siasat,” katanya pada sesi waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung kenyataan Anwar sebelum ini yang menyatakan peletakkan jawatan Shamsul sebagai bukti integriti kerajaan Madani.
Jumaat lalu, Shamsul direman enam hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan kontroversi Albert Tei.
Shamsul yang juga ketua PKR Melaka, meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri selepas mendakwa ada usaha menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasinya dan imej kerajaan.
Tidak lama selepas peletakan jawatannya, Tei dipetik Malaysiakini sebagai berkata, dia membelanjakan RM629,000 untuk kerja ubah suai, perabot dan peralatan untuk hartanah dikaitkan dengan Shamsul, serta barangan peribadi lain.
Tei juga berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp menunjukkan Shamsul didakwa meminta mata wang asing daripada ahli perniagaan itu sebelum ke luar negara.